Saturday, 18 March 2017

KONSEP KEJIRANAN

PENGENALAN

Semangat hidup berjiran yang kita warisi sejak turun temurun, kini jelas semakin terpinggir. Keadaan tersebut tidak wajar dibiarkan kerana hidup berjiran banyak manfaatnya. Dengan semangat kejiranan, masalah jenayah dapat dikurangkan. Kita tidak dapat menafikan bahawa kejadian pecah rumah kerap berlaku ketika penghuninya tiada di rumah. Jika semangat kejiranan dalam masyarakat kita kuat, masalah sedemikian dapat dielakkan kerana sebagai jiran yang bertanggungjawab, seseorang itu akan prihatin terhadap rumah dan harta benda jirannya ketika ketiadaan mereka. Mereka akan membantu melihat persekitaran rumah tetangga dan mengambil tindakan yang sewajarnya jika berlaku sesuatu yang meragukan.
Untuk memupuk semangat kejiranan, sistem pendidikan memainkan peranan penting iaitu melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Agama, Pengetahuan Moral ataupun melalui penyerapan dalam mata pelajaran lain. Dengan cara ini, amalan hidup berjiran dapat dipupuk di kalangan kanak-kanak. Matlamat pengajaran haruslah menekankan pengamalan budaya tersebut dalam kehidupan sebenar. Bukan hanya setakat mengetahuinya di atas kertas sahaja. Memupuk budaya ini di kalangan kanak-kanak adalah lebih mudah. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Langkah meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai juga tidak kurang pentingnya. Mereka harus selalu diingatkan agar mengunjungi antara sesama jiran pada waktu perayaan agar mereka dapat mengenali antara satu sama lain. Begitu juga amalan mengadakan rumah terbuka perlu digalakkan. Sikap pentingkan diri dan berprasangka buruk terhadap jiran seharusnya dihapuskan kerana sifat ini menghalang pembentukan budaya tersebut.Memandangkan amalan hidup berjiran dapat menjamin pewujudan masyarakat penyayang yang amat penting dalam negara majmuk seperti di negara kita, maka kita mestilah sama-sama mengamalkannya.
  Seterusanya, pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti rukun tetangga, kenduri dan gotong-royong perlu dijalankan supaya hubungan antara rakyat berbilang kaum dapat dieratkan. Penduduk kawasan perumahan setempat harus mengambil inisiatif untuk menjalankan aktiviti yang melibatkan rakyat pelbagai kaum seperti meraikan perayaan-perayaan di Malaysia bersama-sama. Aktiviti hari keluarga dan pesta budaya Malaysia juga dapat meningkatkan semangat kejiranan di antara rakyat Malaysia.
Kesimpulannya, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah bersatu dalam usaha untuk memupuk semangat kejiranan di antara rakyat demi mencapai perpaduan kaum. Bak kata pepatah, ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Kita sebagai rakyat Malaysia, kita juga  haruslah menghargai keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh semua rakyat dan perlu berusaha dan menyumbangkan tenaga untuk mengukuhkan perpaduan di antara rakyat berbilang kaum negara kita. Diharapkan semua lapisan masyarakat akan memikul tanggungjawab untuk mengekalkan dan mengukuhkan lagi perpaduan di negara Malaysia.



OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini membincangkan tentang hubungan kejiranan dalam masyarakat sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam. Kajian ini dibuat bertujuan untuk mengenal pasti konsep kejiranan itu sendiri yang meliputi hikmah, tanggungjawab dan hak-hak serta permasalahan yang dihadapi dalam mewujudkan hubungan kejiranan dalam kehidupan masyarakat. Kaedah yang digunakan ialah melalui penyelidikan perpustakaan dengan mengumpulkan bahan-bahan dan maklurnat yang berkaitan daripada buku-buku dan lain-lain penerbitan. Di samping itu kaedah kajian juga dilakukan melalui hasil pemerhatian secara rambang dalam beberapa perkara yang berkaitan. Di antara objektif kajian ialah untuk memberi kefahaman kepada semua masyarakat khususnya masyarakat Islam tentang sejauhmana tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh mereka dalam hidup berjiran serta mengetahui prinsip-prinsip pergaulan sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam agar perpaduan dan permuafakatan di kalangan masyarakat dapat diwujudkan. Ini memandangkan masyarakat hari ini semakin hari semakin mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang jiran. Hasil kajian yang dibuat menunjukkan bahawa semangat kejiranan itu penting sebagai salah satu cara untuk mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat seterusnya melahirkan sebuah negara yang aman dan makmur.


MAKSUD KEJIRANAN DALAM ISLAM

Berdasarkan syarak, jiran ialah orang yang berdekatan dengan rumah kita sama ada di kanan, kiri, di depan atau belakang mahupun di tingkat atas ataupun bawah hingga 40 rumah dari setiap sudut.
Dalam perkataan Arab, jiran membawa maksud orang yang tinggal sebelah menyebelah atau tetangga. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa semangat kejiranan membawa erti satu suasana dan perhubungan yang positif dalam satu-satu kawasan kejiranan. Ini menunjukkan bahawa Islam menitik beratkan hubungan harmoni dan persaudaraan di antara satu sama lain dan agama Islam ialah sebaik-baik agama yang menghubungkan pertalian dan kebaikan di antara sesama manusia.
Menetapkan lingkungan jiran dan had jiran dalam sesuatu kawasan berbeza-beza menurut keadaan tertentu dan suasana. Bahkan menurut Al-Alusi dalam Kitabnya Ruhul Ma’ani Fi tafsiril Qur’an Al-Azim Wa Sab’ul Masani bahawa penetapan jiran ini dan lingkunganya secara zahir kembali kepada uruf (adat setempat). Ini pendapat yang agak tepat kerana dalam kaedah syarak menyebutkan setiap yang datang dari perintah syarak ialah mutlak dan sekiranya tidak ada penerangan jelas dari kaedah melaksanakannya juga tidak dapat dijelaskan dari pemahaman zahir bahasa maka dikembalikan kepada adat kebiasaan dalam melaksanakannya.
Manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak  mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah masyarakat. Memiliki tempat tinggal termasuk di antara salah satu rezeki dan nikmat kerana padanya manusia tinggal dan huni serta menetap untuk melindungi diri dan meneruskan kehidupan dengan teratur dan selesa.

Tempat tinggal itu berbeza-beza menurut situasi dan keadaan seseorang ada yang mampu memiliki rumah yang mewah dan selesa dan ada yang hanya sekadar mampu menghuni rumah teres dan rumah beratapkan zink dan diperbuat dari kayu dan papan. Walaubagaimana sekalipun keadaan penempatan seseorang itu maka sudah menjadi lumrah dia tidak akan berseorangan sebaliknya pasti memiliki jiran baik bagaimana jenis keadaan rumah penempatannya.
Jiran muncul apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Maka Islam dalam memelihara hak sesama manusia serta memandu manusia untuk mencapai harmoni dan bahagia di dunia dan akhirat turut memasukkan aspek-aspek penting yang memandu hubungan kejiranan supaya manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa serta mendapat kebahagiaan seperti yang disebut di dalam hadith tadi.
Muslim yang bertimbang rasa dan menyedari serta memahami hukum-hukum agama, adalah merupakan manusia yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya. Mereka akan sentiasa menghormati dan menimbulkan perasan ihsan apabila berinterasi sesama jiran. Islam banyak menggariskan agar umatnya sentiasa menjaga dan memelihara hubungan dengan jiran.



DEFINASI JIRAN DALAM BAHASA/ ETOMOLOGI

Dari segi bahasa atau etimologi, jiran berasal daripada bahasa Arab yang membawa pengertian orang yang tinggal bersebelahan atau tetangga. Etika Kejiranan Dari segi istilah jiran adalah orang-orang yang tinggal bersebelahan dengan rumah, bersebelahan kampung, daerah malahan lebih besar daripada itu iaitu jiran yang bersebelahan dengan negara. Amat memandang berat berkaitan jiran sehingga jiran dianggap sebagai seorang yang boleh mewarisi harta.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasalah Jibrail berwasiat kepadaku mengenai jiran, sehingga aku menyangka bahwa sesungguhnya dia (jiran) layak untuk mewarisi (mendapatkan harta pusaka)." Dalam menghayati hak-hak jiran, jiran dibahagikan kepada tiga bahagian.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Jiran itu ada tiga macam. Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran yang muslim yang berkerabat, maka baginya hak jiran, hak muslim dan hak kerabatnya. Adapun jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran muslim, di mana haknya ialah hak jiran dan sebagai orang muslim. Manakala jiran yang mempunyai satu hak ialah jiran yang musyrik atau kafir." Al-Ghazali dalam kitabnya 'Bimbingan Mukmin' telah menyenaraikan hak jiran, antaranya:

 Hendaklah seseorang itu memulakan memberi salam kepada jirannya. Selain itu kita juga perlu menziarahinya ketika sakit dan mengucapkan takziah ketika berlaku kematian dan melawati jenazahnya. Kita sebagai seorang jiran jangan terlalu banyak bertanya tentang hal ehwalnya dan selalu memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya. Sebagai jiran yang baik juga kita hendaklah menutup keaiban dan kecelaan yang berlaku pada dirinya. Selain itu, kita perlu sentiasa bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya dengan tutur kata yang baik. Kemudian kita perlu bersiap sedia untuk  menolong jiran yang ditimpa bencana. Kemudian kita jangan sekali – kali  menyakiti hati jiran seperti membuang sampah di pinggir rumahnya dan tidak terpengaruh dengan kata-kata orang yang memburukkan jiran kita kerana Rasulullah SAW memberi amaran keras dan balasan seksa yang memedihkan jika sesuatu hubungan kejiranan bertukar menjadi hubungan yang buruk.



Salah satu daripada ajaran islam yang amat penting bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat ialah amalan hidup berjiran. Secara fitrahnya, manusia tidak boleh hidup seorang diri atau mengasingkan diri. Selain itu, kemakmuran sesebuah negara amat bergantung kepada sejauh mana kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat.
Oleh yang demikian, Islam telah menekankan kepentingan menjalinkan hubungan dalam kalangan masyarakat sekeliling. Ia dapat memainkan perana yang amat penting dalam menjana satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni yang boleh meberi pelb agai kemudahan dan menolong jika berada di dalam kesulitan.
Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat, maka semestinya terlebih dahulu kita menjaga hak-hak ketika berjiran. Antaranya ialah: 


Selain daripada itu, bagi memantapkan lagi hubungan kejiranan ini kita perlulah menyedari keperluan dan kelebihan hidup berjiran. Antaranya ialah






ADAB BERJIRAN TETANGGA MENURUT IMAN AL-GHAZALI

Dewasa ini, kesuntukkan waktu demi mengisi keperluan hidup membuatkan antara kita tidak mengamalkan semangat kejiranan kerana tidak sempat untuk bertegur sapa sesama jiran. Hal ini akan membuatkan perhubungan sesama ahli masyarakat menjadi kurang mesra. Selain itu, kegagalan sesetengah individu memahami konsep kejiranan dengan baik juga akan membuatkan berlakunya perselisihan faham dan akan mewujudkan aura perhubungan yang negatif. Keadaan ini pasti akan memperlahankan proses perpaduan dan boleh menimbulkan perasaan kekok apabila sesakali bersua muka ditempat awam sama ada di pasar malam, surau atau masjid bahkan ketika di kenduri perkahwinan dikawasan kejiranan.
Kepentingan adab berjiran amat penting dan dititik beratkan di dalam agama Islam. Adab semasa pergaulan sesama jiran bermaksud segala sikap, percakapan di dalam perbualan, senyuman, budi, pekerti, perangai, tingkahlaku dan tabiat mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan ianya mestilah bersendikan Al-Quran dan Al-Sunnah. Islam telah menggariskan beberapa adab yang perlu dipatuhi di dalam kehidupan berjiran. Antara yang paling ditekankan ialah ketika berbicara sesama jiran. Hal ini kerana, setiap apa yang dibicarakan oleh seseorang, ia menggambarkan apa yang ada didalam kotak fikirannya serta perangainya. Bagi setiap muslim, semasa bersosial perlu mengelak membicarakan sesuatu yang tidak berfaedah.
 Imam Al-Ghazali menukilkan kisah di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin’ bahawa hak jiran bukanlah sekadar mencegah diri kita daripada menyakiti atau perbuatan yang tidak menyenangkan hati jiran sahaja, tetapi hendaklah bersabar menahan perasaan jika disakiti bahkan lebih daripada itu. Hendaklah kita memberi pertolongan kepada jiran dan menunjukkan rasa kasih sayang.

Diceritakan bahawa Ibnu Muqaffa’ pada suatu hari mendengar bahawa jirannya akan menjual rumah yang didiaminya kerana hendak membayar hutang yang sudah banyak ditanggungnya. Pada waktu itu, Ibnu Muqaffa’ berkata “Sekiranya dijual, tentu saya tidak memperolehi kerhormatan bernaung di bawah rumahnya”. Tidak lama kemudian, dia menemui jirannya itu dan memberikan wang mengikut kadar rumah itu sebagai sedekah dan berkata, “Janganlah saudara menjual rumah saudara ini.
Imam Al-Ghazali juga telah turut menyenaraikan hak-hak seseorang muslim terhadap jirannya untuk kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran yang berguna sebagai panduan bersama ketika berinteraksi dengan jiran tetangga iaitu:

§  Hendaklah mendahulukan ucapan salam kepadanya setiap kali bertemu
§  Jangan terlalu banyak bertanya kepadanya tentang keadaannya sehari-hari
§  Menziarahi dirinya atau kaum keluarganya apabila sakit ataupun ditimpa musibah
§  Tunjukkan bahawa kita turut berdukacita dan bersimpati jika mereka ditimpa musibah dan bersegera memberikan pertolongan jika perlu sekalipun tanpa diminta
§  Menyatakan perasaan gembira apabila mereka memperoleh kesenangan atau kurniaan Allah SWT
§  Ampunilah segala kesalahan-kesalahan atau keburukkannya, baik dengan apa-apa cara sekalipun
§  Jangan membuat sesuatu yang tidak menyenangkan jiran kita umpamanya meletakkan batang kayu di dinding rumahnya
§  Jangan menyempitkan jalan menuju ke rumahnya
§  Jangan mengintai-ngintai apa yang dibawa olehnya ke dalam rumahnya
§  Tutuplah kecacatan atau kekurangan yang nampak di matamu dan jangan hebohkan kepada sesiapapun
§  Berikanlah dia semangat untuk terus berusaha menghadapi kesukaran apabila kesukaran menimpanya
§  Jangan lalai menjaga rumahnya pada waktu dia tiada atau sedang bermusafir
§  Jangan mendengar kata-kata orang lain yang mengeji dirinya, yang berupa umpatan atau berita-berita yang tidak menyenangkan
§  Tundukkan matamu sewaktu melihat isteri/suaminya
§  Jangan selalu memandang hamba/pembantu rumahnya
§  Bersikap lemah lembut terhadap anak-anaknya baik dalam percakapan atau lain-lain
§  Tunjukkan sesuatu yang tidak diketahui oleh saudaranya, baik yang dalam urusan keduniaan atau keakhiratan.


PENUTUP

Perpaduan antara kaum adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara kita. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam aman damai. Bagi mempastikan perpaduan dan kemakmuran ini kekal ianya perlu dimulai dengan hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka. Sekiranya ini diabaikan maka lambat-laun ia akan mencetuskan bibit-bibit permusuhan dan perkauman yang akhirnya merebak kepada huru-hara, perpecahan dan perbalahan.
Kesimpulannya ialah, ajaran Islam menuntut kita bercampur gaul dan bermesra dengan masyarakat. Salah satu kumpulan manusia yang memainkan peranan besar meningkatkan kebahagiaan keluarga ialah jiran. Jiran yang tinggal dalam lingkungan rumah kita adalah orang yang paling hampir dan yang paling layak untuk memberi bantuan dan pertolongan. Berdasarkan besar peranan jiran ini, maka suka penulis cadangkan agar kita kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dalam menjaga silaturarahim dan adab-adab terhadap jiran tetangga. Dalam hal ini Islam memberi penghargaan yang tinggi kepada jiran.


0 comments:

Post a Comment